Jiwa
Duhai Jiwa, kau apa khabar?
Aku dengar kau terbaring lesu lelah dengan Hidup.
Itu pun dari Sang Hati yang merintih ingin kau bangun.
Lama kau terbaring, dia susah Hati, dia ingat kau dah mati.
Dia ingin bantu, tapi kau harus bangun sendiri. Minda beritahu dia, kau kuat cuma lutut kau lemah.
Dah dirantai dengan Hidup, kejam ya Hidup dengan kau, kenapa dia tak ingin kau lepas bebas.
Aku pernah tanya Hidup, dia kata kau selalu ikut Hati membuat perkara tidak berfaedah.
Hidup kata kau tak pandai bawa diri, sering tersalah langkah. kata Hidup lagi dia perlu mencorakkan kau agar tidak menjadi buah mulut orang-orang kayangan sepertinya.
Puas aku dan Minda nasihatkan Hidup, jangan buat begitu dengan kau, tapi dia kata bukan urusan kami.
Aku tak faham dengan Hidup serasa sangat toksik kepadamu Jiwa dan Aku pun tak faham dengan kau Jiwa mengapa masih mengikut Hidup jika batin kau tersiksa.
Hati sedih melihatmu Jiwa, dia tak upaya menyelamatkanmu, tinggal di rumah mewah dengan segala kemudahan itu tidak membuatmu bahagia.
Kami doa kan kau menemui kekuatanmu Jiwa, bertahun kau disitu menahan amarah Hidup. Mungkin jika Hidup tidak mahu berubah, sudah masa untuk kau sendiri bebaskan belenggu Jiwamu.
Hidup
Aku tak suka tengok gaya Hidup Aku tahu dia sangat berjaya dia mula riak, mula kuat mengkritik
aku rindu Hidup yang dulu, Hidup sebelum berjaya sama-sama berkongsi nasi bungkus dengan aku dan Minda. Hidup yang saling memberi semangat kepada sahabat-sahabatnya.
Hidup sekarang sudah tenggelam dalam duniawi, harta yang banyak tak membuat dia zuhud, malah makin sombong, angkuh.Semalam aku di hina miskin dan malas kerana meminta pertolongannya.
Bukan aku sahaja terasa dengan Hidup, Minda pun terasa, dulu semasa susah sedikit pun kami tak berkira malah Hidup sendiri berjanji akan membantu sahabat-sahabat dunia akhirat ini. Janji tinggal janji selagi harta tidak mengelabui matamu, Hidup.
Untuk Hidup yang mendongak ke langit, aku doakan kau bahagia. Aku juga doakan Jiwa agar segera bebas darimu andai kau tidak bercita-cita untuk berubah.
Pesanan seikhlas Hati dari sahabatmu.
Hati
Hati muda remaja, Hati riang riaHati sedang bercintaDia cinta sampai mati, dengan kuasa cinta katanya semua akan jadi indah – indah belaka.
Hati-hati dengan perkataanmu Hati, salah mencintai juga akan buat kau mati, cinta kepada perkara yang sementara akan buat kau gila ketika kehilangannya. Kau tahu kan apa sahaja di dunia ini bersifat sementara.
Kau tengok apa jadi dengan sahabatmu Jiwa, rasa cintanya pada Hidup memakan dirinya. Kau tengok Hidup juga makin takbur kerana rasa cinta pada harta duniawinya.
Tapi Hati andai cinta kau hanya pada Sang Pencipta dan kekasihnya. Kau akan jadi seseorang yang paling aku hormati, kerana aku sendiri masih berusaha untuk mencapai tahap itu.
Namun andai kau alpa, kau lupa, kau jadi malap tak bercahaya. Kau masih ada aku dan Minda untuk memberi peringatan.
Minda
Sahabat sejati aku, yang selalu mengingatkan aku hidup ini tak selalu indah.Setiap keindahan ada pengakhiran begitu sebaliknya.Hujan mungkin rahmat bagi sesetengah orang dan tragedi pula untuk orang lain.
Minda sentiasa menyuruh aku bersikap rasional. Berhenti sejenak ketika marah dan memikirkan baik buruknya tindakan aku.
Minda orangnya kadang-kadang membosankan tidak banyak berkata, tak seperti Hati yang selalu ceria berjenaka, atau Jiwa yang selalu bercerita malangnya bukan juga seperti Hidup yang selalu berkisah dialah yang paling bagus.
Aku tanya Minda kenapa dia selalu tenang. Dia jawab dia kenal Tuhan dan dia tahu tanggungjawabnya di dunia.
Hai Minda, kalau lah aku seredhamu, pasti hidup aku tenteram.
Aku juga risau dan galau, kadang-kadang terfikir juga mungkin jalan yang aku pilih salah.
Tapi selagi aku berserah kepada Ya Rabb. Aku tahu kompasku menunjuk arah yang tepat.
Itu jawapan Minda, orangnya hebat, kata-katanya tersirat dan tersurat.
Selagi kau ada denganku aku tak risau Minda, begitulah keyakinanku padanya.
Namun nasihat Minda, Kompas ku mungkin sesuai dengan ku belum tentu sesuai dengan kau, Kompasmu, kau yang harus menciptanya sendiri mengikut kehendakmu.
Sekali lagi kagumku padamu takkan pernah habis, Minda.
Akhir Sekali Aku hanyalah pemerhati kepada sandiwara watak-watak lain.